Sunday, 5 October 2014

Ibadah Haji dan Aidil Adha : Signifikannya kepada umat Islam


10 Zulhijah 1435 bersamaan 5 Oktober 2014

Lafaz takbir bergema. Kalimah yang cukup indah dan Maha Agung sekali pengertian di sebalik kalimah tersebut.

 Allah Maha Besar,
Allah Maha Besar,
Allah Maha Besar,
Tiada Tuhan Melainkan Allah,
Segala puji-pujian bagi Allah dan Allah Maha Besar.

Kalimahnya cukup mudah, ringkas dan indah malahan ia juga membawa pengertian yang Maha Agung.  Ayuh rakan, ayuh teman kita menghayati di sebalik kalimah tauhid tersebut. Sesungguhnya Allah itu wujud dan Esa dan kepadaNya kita menyembah dan memohon pertolongan.

Hari Raya Korban ataupun Aidil Adha merupakan antara hari yang amat signifikan kepada umat Islam sejagat. Ia juga amat sinonim dengan ibadat Haji kerana ibadat Haji dan Aidil Adha mempunyai perkaitan yang amat kuat. Tiada ibadat haji, tiadalah AidilAdha.

Sehari sebelum kita merayakan Aidil Adha, kita disunatkan untuk berpuasa Hari Arafah kerana pada hari tersebut semua jemaah haji berada di Padang Arafah dan merupakan kemuncak pada ibadah haji. Malahan, dalam sebuah hadis Nabi juga menggalakkan untuk berpuasa sunat dari 1-9 Zulhijah dan kafiat amalan tersebut amat besar ganjarannya. Inshaa Allah, segala kebaikan yang kita lakukan pasti Allah akan membalasnya. Semoga Allah melimpahkan rahmatNya seluas-luasnya kepada kita dan mengurniakan keselamatan  dan kesejahteraan dalam hidup kita semua. 

Dalam ibadat haji, terkandungnya pelbagai simbolik dan makna tersurat dan tersirat yang boleh kita hayati. Antaranya wukuf di Padang Arafah merupakan simbolik gambaran di Padang Mahsyar sewaktu hari kiamat nanti. Cuaca di Padang Arafah adalah begitu panas dan begitulah keadaannya kita di sana  kelak sewaktu hari kiamat. Bagi mengetahui serba sedikit mengenai simbolik ibadah Haji Tuan /Puan bolehlah membuka url berikut http://shafiqolbu.wordpress.com/2011/10/25/simbolik-ibadah-haji/

Ibadah haji kali ini dikatakan sebagai Haji Akhbar dan ia merupakan haji yang sangat diharapkan oleh semua umat Islam. Kali ini hari wukuf di Padang Arafah adalah jatuh pada hari Jumaat yang merupakan penghulu segala hari. Malahan kita digalakkan untuk berdoa sepanjang waktu tersebut kerana doa kita akan dimakbulkan. Inshaa Allah, Allah pasti akan memberikan yang terbaik untuk kita kerana Allah lebih tahu yang terbaik untuk hambaNya. Mari lah kita susuri kehidupan ini dengan penuh yakin terhadap Allah, taati perintahNya dan terus berdoa. Doa, usaha dan tawakal perlulah seiring.

Hari Raya Aidil Adha juga memberikan sentuhan peribadi tersendiri kepada diri saya dan kesannya amat mendalam. Ini adalah kerana, saya dilahirkan sewaktu Aidil Adha di waktu subuh. Begitu lah seperti apa yang dceritakan oleh arwah abang Long saya. Alhamdulilah, saya amat bersyukur atas kurniaan Allah kerana diberikan peluang untuk lahir pada Aidil Adha.

Sememangnya  Aidil Adha bukan sahaja menceritakan tentang pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail semata, malah luas ruang lingkupnya kerana Aidil Adha bertaut erat bersama ibadah Haji. Banyak kisah dan pengajaran di sebalik setiap peristiwa tersebut dan ia memberikan kesan yang mendalam dan signifikan kepada semua umat Islam.

                                                                          TAMAT

............................................................................................................................................

Hari raya juga memberikan kita kesempatan untuk berkumpul bersama keluarga. Saya sempat lah juga 'berwefie' bersama anak-anak saudara saya...hehe.Happy family,alhamdulilah!

 

Wednesday, 1 October 2014

DILEMA MINYAK VS ORANG NAIK MINYAK

Semalam kita dikejutkan dengan pengumuman kerajaan atas pengurangan subsidi minyak. Lantas apabila subsidi dikurangkan, ia membawa kepada kenaikan harga minyak. Malam semalam hingga lah ke hari ini, ia menjadi viral di media sosial dan pelbagai saluran lagi. Nampaknya, rasionilasasi  subsidi oleh kerajaan tidak berjaya merasionalkan rakyat. Saya bukan lah seorang pakar ekonomi tapi sebagai pengguna sudah pasti saya turut terasa kesan kenaikan harga minyak ini.Dalam isu ini, antara point-point dan persoalan yang perlu kita tahu dan fikirkan adalah seperti berikut ;
  • Kerajaan dalam usaha untuk merasionalisasi subsidi kerana kerajaan berpandangan bahawa subsidi yang diberikan tidak sampai kepada golongan sasaran. Justeru itu, kerajaan merasakan  dengan memberikan bantuan seperti BR1M dan RM100 kepada pelajar sekolah merupakan langkah yang tepat kepada golongan sasaran. Namun demikian, sejauh manakah bantuan tersebut capai kepada golongan sasaran?, sedangkan mereka yang terlebih mampu pun boleh menerima BR1M. Bantuan sedemikian nampaknya seperti menambahkan lagi beban kos perbelanjaan kerajaan. 
  • Dilema kerajaan Vs Dilema rakyat. Kerajaan berhadapan dengan situasi subsidi yang diberikan itu hanya dirasai oleh golongan tertentu sahaja. Selain itu, subsidi itu juga turut dirasai oleh rakyat negara jiran kita juga.Tidak kurang juga dengan penyeludupan minyak yang berlaku bagi dijual semula ke negara jiran. Justeru, apakah tindakan yang konstruktif bagi membendung jenayah tersebut? Mungkin dapatan yang diterima kerajaan yang menyatakan bahawa golongan pendapatan sederhana tidak banyak menggunakan minyak itu tidak tepat. Hal ini kerana, kalau pendapatan tak besar langkah pun tak besar. Jadi bagaimana mahu kerap mengisi minyak?
  • Kesan kenaikan minyak ini juga boleh membawa kepada manipulasi harga pasaran barangan keperluan. Dikhuatiri, pembekal dan peniaga mengambil kesempatan dalam hal ini atas alasan kenaikan minyak. Namun saya percaya, tidak semua begitu. Peniaga dan pembekal juga mungkin mempunyai dilema mereka yang tersendiri. Atas faktor tersebut, kerajaan dan jenteranya pentadbirannya perlu mencari titik pertemuan bagi menangani isu ini. 
Di kesempatan ini juga, saya menyeru kepada rakan-rakan calon Parlimen Belia Negeri Johor agar kita dapat berkumpul bersama-sama untuk membicarakan isu ini. Diharapkan perkumpulan seumpama ini dapat dijadikan sebagai wadah untuk kita menyuarakan suara rakyat Malaysia. Kalah atau menang dalam pemilihan Parlimen Belia ini saya tidak pentingkan sangat. Bagi saya, Allah telah memilih kita untuk bersuara bagi rakan-rakan yang lain. Walau kalah, saya sudi untuk bersama yang lain untuk kita garapkan harapan dan keluh kesah rakan kita di peringkat Negeri Johor. Salam muafakat!