Wednesday, 1 October 2014

DILEMA MINYAK VS ORANG NAIK MINYAK

Semalam kita dikejutkan dengan pengumuman kerajaan atas pengurangan subsidi minyak. Lantas apabila subsidi dikurangkan, ia membawa kepada kenaikan harga minyak. Malam semalam hingga lah ke hari ini, ia menjadi viral di media sosial dan pelbagai saluran lagi. Nampaknya, rasionilasasi  subsidi oleh kerajaan tidak berjaya merasionalkan rakyat. Saya bukan lah seorang pakar ekonomi tapi sebagai pengguna sudah pasti saya turut terasa kesan kenaikan harga minyak ini.Dalam isu ini, antara point-point dan persoalan yang perlu kita tahu dan fikirkan adalah seperti berikut ;
  • Kerajaan dalam usaha untuk merasionalisasi subsidi kerana kerajaan berpandangan bahawa subsidi yang diberikan tidak sampai kepada golongan sasaran. Justeru itu, kerajaan merasakan  dengan memberikan bantuan seperti BR1M dan RM100 kepada pelajar sekolah merupakan langkah yang tepat kepada golongan sasaran. Namun demikian, sejauh manakah bantuan tersebut capai kepada golongan sasaran?, sedangkan mereka yang terlebih mampu pun boleh menerima BR1M. Bantuan sedemikian nampaknya seperti menambahkan lagi beban kos perbelanjaan kerajaan. 
  • Dilema kerajaan Vs Dilema rakyat. Kerajaan berhadapan dengan situasi subsidi yang diberikan itu hanya dirasai oleh golongan tertentu sahaja. Selain itu, subsidi itu juga turut dirasai oleh rakyat negara jiran kita juga.Tidak kurang juga dengan penyeludupan minyak yang berlaku bagi dijual semula ke negara jiran. Justeru, apakah tindakan yang konstruktif bagi membendung jenayah tersebut? Mungkin dapatan yang diterima kerajaan yang menyatakan bahawa golongan pendapatan sederhana tidak banyak menggunakan minyak itu tidak tepat. Hal ini kerana, kalau pendapatan tak besar langkah pun tak besar. Jadi bagaimana mahu kerap mengisi minyak?
  • Kesan kenaikan minyak ini juga boleh membawa kepada manipulasi harga pasaran barangan keperluan. Dikhuatiri, pembekal dan peniaga mengambil kesempatan dalam hal ini atas alasan kenaikan minyak. Namun saya percaya, tidak semua begitu. Peniaga dan pembekal juga mungkin mempunyai dilema mereka yang tersendiri. Atas faktor tersebut, kerajaan dan jenteranya pentadbirannya perlu mencari titik pertemuan bagi menangani isu ini. 
Di kesempatan ini juga, saya menyeru kepada rakan-rakan calon Parlimen Belia Negeri Johor agar kita dapat berkumpul bersama-sama untuk membicarakan isu ini. Diharapkan perkumpulan seumpama ini dapat dijadikan sebagai wadah untuk kita menyuarakan suara rakyat Malaysia. Kalah atau menang dalam pemilihan Parlimen Belia ini saya tidak pentingkan sangat. Bagi saya, Allah telah memilih kita untuk bersuara bagi rakan-rakan yang lain. Walau kalah, saya sudi untuk bersama yang lain untuk kita garapkan harapan dan keluh kesah rakan kita di peringkat Negeri Johor. Salam muafakat! 

No comments:

Post a Comment